TOKYO Motor Corporation memperkenalkan model konsep Toyota Mirai generasi kedua iaitu kenderaan Fuel Cell Hidrogen Elektrik (FCEV) dengan emisi sifar.
Ketua Jurutera Mirai, Yoshikazu Tanaka berkata, model yang diperkenalkan pada 2014 itu kini tampil dengan rekaan dan platform serta Fuel Cell (FC) serba baru bagi meningkatkan pengalaman memandu jentera elektrik pacuan roda belakang.
“Pantas dan responsif adalah kelebihan utama model ini dalam memastikan pemiliknya mendapat kepuasan pemanduan dan dalam masa sama tiada pelepasan asap dilakukan bagi ciri kereta mesra alam,” katanya kepada media sempena Tokyo Motor Show 2019 di Tokyo, hari ini.
Katanya, model berkenaan yang boleh memuatkan lima penumpang kini mampu bergerak sehingga 30 peratus lebih jauh berbanding model sebelum ini dengan kapasiti empat penumpang. Ia dijangka dilancarkan pada penghujung 2020.
Mirai juga tampil lebih elegan dengan panjang 85 milimeter (mm), lebar ditambah 70 mm serta jarak tapak roda 140 mm bagi keselesaan penumpang.
Untuk melihatkan gaya seperti coupe, bumbung juga direndahkan sebanyak 65 mm dan saiz rim ditambah menjadi 20 inci selain tayar lebih lebar bersaiz 80mm dipasangkan.
Mirai juga bukan sekadar kenderaan-eko malah ia dibangunkan sebagai persediaan Toyota menjadi penyedia teknologi berasaskan bateri elektrik baharu pada masa hadapan.
Kami akan terus membangunkan kereta dengan konsep sebegini dan menjangkakan Mirai akan terus menjadi pencetus dan pendahulu dalam menjana tenaga hidrogen untuk mobiliti utama kenderaan lain pada masa hadapan.
Buat masa ini Mirai hanya dipasarkan di negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah memandangkan kemudahan pengecas menggunakan gas hidrogen hanya terhad di negara berkenaan.
Sehingga kini, ia sudah terjual lebih 10,000 unit.
Post A Comment:
0 comments: