JIKA diperhatikan daripada generasi pertama sejak diperkenalkan pada 1963, model Porsche 911 kelihatan seakan-akan sama malah mengekalkan rekaan malar segar.
Walaupun selepas 56 tahun, model kereta sport ikonik untuk jenama Porsche itu masih memegang ‘erat’ DNA asal malah sukar untuk membezakan daripada generasi mana ia berasal jika tidak dilihat dengan teliti.
Namun, setiap generasi mempunyai ciri tersendiri sama ada rekaan atau prestasi enjin yang dipertingkatkan.
Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model 911 daripada siri 992 sempena acara ‘Sportscar Together Day’ di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini bagi merasai pengalaman dan prestasi jentera ini.
Model generasi kelapan dilancarkan untuk pasaran Malaysia baru-baru ini adalah refleksi gaya klasik serta gambaran masa hadapan hala tuju rekaan dan teknologi Porsche.
Rekaan luarannya mengetengahkan gaya kontemporari termasuk bampar hadapan baharu dengan fungsi kemasukan udara serta lampu LED empat point dengan pancaran malap yang disepadukan.
Lebar bahagian hadapan yang ditambah 45 milimeter (mm), pembuka pintu tersembunyi serta rim aloi hadapan dan belakang 20 inci dan 21 inci menyerlahkan gaya dinamik sebuah kereta sport.
Paling mudah untuk melihat pembaharuan yang diberikan kepada model ini lampu LED yang merentasi bahagian belakang dan lampu brek ketiga dengan ‘louvres’ menegak yang disatukan dengan cermin belakang.
Spoiler belakang 25 peratus lebih lebar malah akan menaik secara automatik pada kelajuan bermula sekitar 90 kilometer/sejam (km/j).
Melalui padanan empat ekzos, kedudukan nombor pendaftaran diubah ke bawah.
Lampu ‘auxiliary’ pula membuatkan kenderaan ini kelihatan lebih rendah manakala lambang Porsche dan nama modelnya yang dihasilkan ala gaya vintaj menawarkan sentuhan minimalis.
Post A Comment:
0 comments: